
KUALA LUMPUR, 14 MEI — Ketua Penerangan PEJUANG menggesa rakyat tidak terpedaya dengan pimpinan PKR yang mempersoalkan pelanjutan kontrak Tan Sri Azam Baki.
Muhammad Rafique Rashid Ali berkata hujah pimpinan PKR tidak relevan memandangkan Azam sudah lama memimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Usah anggap rakyat terima sahaja alasan tidak masuk akal konon tidak setuju dengan pelantikan semula Azam.
“Seeloknya Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi nasihat agar Azam tidak dilantik semula.
“Anwar pernah bilang ini zaman edan. Ya, madani adalah zaman edan,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam.
Rafique berkata ketika ini rakyat melihat bagaimana SPRM diperguna sebagai alat untuk melawan suara membantah kerajaan.
Katanya, pada zaman empayar Rom, pembesar dan penguasa akan menganjurkan pertandingan gladiator sebagai hiburan untuk membiarkan rakyat leka.
“Begitulah juga pertandingan dalam PKR. Zaman parti kelentong rakyat.
“Jangan anggap rakyat semua seperti akar umbi PKR. Rakyat melihat bagaimana dulu mereka dalam PKR dan Pakatan Harapan hendak tangkap Azam.
“Sekarang yang hendak tangkap Azam ramai dalam Kabinet Madani. Kalau begitu selayaknya mereka semua hendaklah meletak jawatan atas prinsip,” katanya.
Lanjutan kontrak Azam, 62, merupakan kali ketiga dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom