
KUALA LUMPUR, 10 MEI — Nurul Izzah Anwar mengecam penyambungan kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata lanjutan kontrak setahun tersebut tidak dialu-alukan kerana menyukarkan perubahan dasar negara.
“Penyambungan ini tidak dialu-alukan. Parti perlu bersama lakukan reformasi. Kita memerlukan sokongan rakyat dan ahli untuk melakukannya.
“Kita perlu personaliti penjawat awam yang berani untuk bangkit,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X hari ini.
Ketua Setiausaha Negara semalam memaklumkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei ini.
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah memperkenankan pelantikan semula Azam bagi memegang jawatan tertinggi SPRM itu.
Azam, 62, sudah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom