
KUALA LUMPUR, 9 MEI — Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Negeri Sembilan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan PKR kali ini.
Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan pencalonan mereka selepas nama kedua-dua pemimpin itu terpapar pada sistem pemilihan, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, seramai 67 ahli mencalonkan diri bagi merebut tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Dengan pencalonan Amirudin dan Aminuddin, difahamkan sehingga kini terdapat 10 nama yang bakal bertanding merebut jawatan Naib Presiden.
Antara pimpinan yang mengesahkan pencalonan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula 12 tengah malam tadi hingga 11.59 malam ini.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom