
KUALA LUMPUR, 25 APRIL — Kementerian Komunikasi memaklumkan Menara Kuala Lumpur akan beroperasi semula untuk kunjungan umum bermula esok.
Kementerian itu dalam satu kenyataan menjelaskan pembukaan semula menara tersebut merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan pekerja yang terlibat.
“Menerusi pengurusan baharu premis Menara Kuala Lumpur yang diterajui LSG Service Master, kerajaan komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien.
“Berorientasikan pelanggan dengan penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung,” katanya.
Menteri Komunikasi minggu lalu memaklumkan Menara Kuala Lumpur akan dibuka semula kepada orang ramai.
Datuk Fahmi Fadzil berkata menara itu akan dibuka selepas kerja penyelenggaraan dan isu keselamatan ditangani sepenuhnya oleh konsesi baharu.
Katanya, hasil pemantauan di menara itu mendapati terdapat perkakas dapur dan ruangan tertentu tidak berada dalam keadaan selesa untuk pengunjung.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom