
KUALA LUMPUR, 22 APRIL — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan siasatan penerokaan tanah haram di Raub, Pahang.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan kini tertumpu kepada dua aspek termasuk tatakelola Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Saya sudah pun mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan. Kita melihat dua perkara iaitu isu rasuah bagaimana penerokaan haram boleh dilakukan dalam tempoh tertentu.
“Kedua, isu tatakelola yang diamalkan di PTG. Siasatan menyeluruh akan dijalankan SPRM Pahang dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah minggu lalu bertitah agar kemelut pencerobohan tanah haram di Pahang diakhiri.
Sultan Pahang menegaskan sebanyak 14,494 hektar tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Titahnya, seluas 5,997 hektar Hutan Simpanan Kekal juga diceroboh atas nama pertanian tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom