
KUALA LUMPUR, 19 APRIL — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) kesal dengan sikap pensyarah yang mempersoalkan siasatan polis ke atas akhbar Sin Chew Daily.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata Prof Dr Tajuddin Mohd Rasdi boleh melucutkan kewarganegaraannya jika berasa malu dengan siasatan pihak polis.
“PERKASA ingin ingatkan kepada Tajuddin jika kamu malu menjadi rakyat Malaysia, kamu boleh tinggal di mana-mana sahaja negara yang kamu suka.
“Tetapi pastikan kamu lucutkan kewarganegaraan kamu dahulu. Kamu harus ingat bahawa di Malaysia inilah tempat kamu dilahirkan, di sinilah tempat kamu mencari rezeki.
“Kamu harus ingat selagi mana kamu menjadi rakyat Malaysia, kamu harus hormati mempertahankan kedaulatan negara kerana bumi Malaysia adalah bumi merdeka,” katanya.
Tajuddin semalam kecewa dan malu menjadi rakyat Malaysia ekoran siasatan polis terhadap dua editor kanan Sin Chew Daily.
Katanya, siasatan itu mengukuhkan lagi kepercayaannya bahawa Malaysia berada di ambang kegagalan tanpa penghujung.
Irwan Fahmi berkata siasatan ke atas pengarang kanan Sin Chew Daily tidak bersandarkan kepada rasa dendam mahupun perkauman.
Katanya, Tajuddin seharusnya tidak mempertahankan akhbar bahasa Cina itu kerana dilihat memperlekehkan keluhuran Jalur Gemilang.
“Rakyat mana yang bersikap dendam ini? Isu bendera Malaysia ini bukan isu perkauman tetapi ini isu identiti dan juga ikon sebuah negara.
“Apakah tujuan kamu mempertahankan mereka yang kurang ajar terhadap negara? Apakah kamu buta atau bodoh? Jangan ingat kamu Profesor, kamu hebat.
“Kamu jangan menjadi pengkhianat kepada negara dan bangsa kamu sendiri. Apakah kamu ini Othman Wok versi Malaysia?” soalnya.
Beliau berkata insiden penghinaan terhadap Jalur Gemilang adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan kerana kemerdekaan negara kini menghampiri 70 tahun.
Katanya, rakyat Malaysia terutama orang Melayu sudah terlalu bertolak-ansur dengan pelbagai isu seperti KK MART dan hari ini kemarahan orang Melayu sudah sampai kemuncaknya.
“Apabila bendera Malaysia dicacatkan oleh orang yang sengaja mahu bangkitkan kemarahan orang Melayu, apakah orang Melayu pertahankan maruahnya mempunyai sikap dendam?
“PERKASA menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang tidak boleh menerima kesilapan dalam isu bendera Malaysia ini.
“Hari ini PERKASA menggesa kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk membatalkan lesen penerbitan kepada syarikat akhbar tersebut,” katanya.
Ikuti saluran Telegram Inspirasi Channelz: https://t.me/inspirasichannelzcom