Ada beberapa pengumuman besar dalam RMK13 yang akan mengubah lanskap pendidikan negara dalam tahun-tahun akan datang.
(1) Pendidikan pra-sekolah bermula 5 tahun akan diwajibkan dan disediakan untuk semua di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara.
(2) Pendidikan sekolah rendah akan bermula pada umur 6 tahun, dan pelajar akan habis sekolah menengah pada umur 16 tahun.
(3) Pelaburan untuk meningkatkan kompetensi guru supaya kerjaya perguruan melalui proses penilaian dan latihan berterusan seperti profesional lain.
Perkara-perkara ini jadi perdebatan besar dalam kerajaan sebelum ini.
Diagnosisnya begini:
(1) Peruntukan untuk pendidikan, sebagai peratusan dari saiz ekonomi negara, sebenarnya tinggi relatif kepada negara-negara yang sama kategori dengan kita.
(2) Tetapi banyak peruntukan ini lebih cenderung kepada pembinaan fizikal yang kosnya semakin tinggi setiap tahun.
(3) Akibatnya, pelaburan untuk meningkatkan kompetensi guru tidak mencukupi. Kalau tukar silibus pun, kalau guru tidak dilatih dengan baik, ia tidak akan mencapai matlamat menaiktaraf silibus.
(4) Dari perspektif pembangunan kanak-kanak, umur yang paling kritikal ialah di antara 4 hingga 7 tahun. Lebih awal kanak-kanak melalui pembangunan fizikal dan mental yang baik, potensi pembelajaran ditingkatkan di tahun-tahun persekolahan seterusnya.
(5) Ibubapa pula terbeban dengan kos membayar yuran pra-sekolah kerana ia tidak ditawarkan secara universal dan hak rakyat. Kos pra-sekolah menjadi beban kos sara hidup bagi keluarga muda.
(6) Dari perspektif ekonomi, Malaysia melalui negara menua. Jumlah tenaga kerja akan mengecil, jadi sebaiknya generasi akan datang menyertai tenaga kerja lebih awal, selepas pendidikan menengah wajib yang berakhir pada umur 16 tahun.
Beberapa perubahan khusus yang perlu berlaku hasil reformasi pendidikan RMK13 ini:
(a) Kemudahan pra-sekolah di dalam sekolah-sekolah akan ditambah dan dibina baru di seluruh Malaysia bermula 2026
(b) Masa persekolahan dan silibus akan disesuaikan agar darjah satu bermula pada umur 6 tahun dan habis umur 16 tahun
(c) Sebahagian Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dijadikan pusat latihan kompetensi guru yang khusus untuk melatih guru-guru dalam perkhidmatan secara berterusan, bukan lagi untuk melatih pelajar lepasan sekolah untuk menjadi guru
Keluarga yang ada anak umur tiga tahun ke bawah, dah boleh bayangkan anak masuk pra-sekolah wajib berumur 5 tahun lepas ini.
